



Kehidupan Wanita di Sabah Sebelum Pembentukan Malaysia 1963
Kehidupan kaum wanita di Sabah sebelum era pembentukan Malaysia pada tahun 1963 mempunyai keterbatasan dan had dalam pelbagai aspek jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Golongan wanita ini juga turut ditindas dengan kejamnya semasa penjajahan Jepun di Sabah sewaktu Perang Dunia Ke-2 (1943-1945). Menurut satu akhbar tempatan yang bertajuk 'Japanese Account Of War in Sabah' yang ditulis oleh Danny Wong iaitu seorang pakar dalam sejarah perhambaan di Malaysia, menyatakan bahawa golongan wanita semasa pendudukan Jepun di Sabah telah dijadikan sebagai buruh paksa yang dikerah untuk membina landasan terbang Jepun di Jesselton. Golongan yang menjadi buruh paksa ini terdesak untuk melepaskan diri dari keadaan yang sangat membebankan ketika itu. Selain terdedah dalam suasana perhambaan, mereka juga mengalami kebuluran dan dikongkong dalam suasana tempat tinggal yang terhad dan tidak selesa. Kebajikan mereka sama sekali tidak dijaga. (Danny Wong, 2000).
Kehidupan wanita ketika itu dikatakan amatlah daif kerana mereka hanya terbatas dalam ruang kekeluargaan sahaja. Selain itu, tahap pendidikan golongan ini amat rendah kerana kebanyakkan ibu bapa hanya membenarkan anak perempuan mereka bersekolah sehingga darjah 6 dan kemudiannya dikahwinkan dengan lelaki pilihan keluarga. Kesedaran golongan wanita untuk bangkit ketika itu masih belum kelihatan kerana terkongkong dengan pandangan masyarakat setempat dimana hanya lelaki sahaja yang digalakkan untuk keluar merantau dalam mencari rezeki sementara kaum wanita perlu duduk di rumah dan bertangunggjawab menjaga ahli keluarganya. (Daily Express, 2000).
Pencetus Kebangkitan Wanita di Sabah
Jika dilihat dan ditelusuri secara mendalam, kebangkitan kaum wanita di Sabah tidaklah dicetuskan oleh seorang individu sahaja, bahkan kebangkitan ini hanyalah menunjukkan satu tahap yang beransur-ansur. Namun begitu, kesedaran untuk bangkit seiring dengan kaum lelaki mula menjelmakan sinarnya selepas Sabah menyertai pembentukkan Malaysia pada tahun 1963. Terdapat pelbagai artikel dan penulisan berkenaan dengan bidang yang diceburi oleh kaum wanita ketika itu. Seterusnya, kejayaan yang dicapai oleh golongan wanita ini telah menjadi inspirasi kepada kaum wanita di Sabah untuk bangkit berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki.
Penemuan bahan dan bukti yang ditemui di Arkib Negeri Sabah mengenai sejarah dan kebangkitan tokoh wanita telah dapat dikesan dan dirujuk. Sebuah artikel yang bertajuk 'First Sabah Recipients' telah disiarkan dalam sebuah akhbar yang bertajuk 'Sabah Women-Special Report'. Artikel tersebut telah menyentuh mengenai dua orang tokoh wanita Sabah yang pertama menerima Anugerah Tokoh Wanita yang dianjurkan oleh Majlis Organisasi Wanita peringkat Kebangsaan (NCWO) pada tahun 1987. Mereka ini adalah Datuk Chia Hiap Jee dan Datin Hajah Zahara Ismail. Datuk Chia Hiap Jee adalah penerima anugerah atas khidmat dan sumbangan beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan sebagai pengarah dalam Persatuan Wanita Cina Sabah sementara Datin Hajah Zahara Ismail pula dianugerahkan juga atas khidmat beliau sebagai pengarah dalam Persatuan Wanita Sabah. Kehadiran mereka berdua ini telah membawa kepada cetusan inspirasi dalam sanubari terhadap kaum wanita dan seterusnya membawa kepada kemunculan tokoh-tokoh wanita tempatan sehingga hari ini. (Daily Express, 2000).
Terdapat juga tokoh wanita yang diberi penghormatan selain penglibatan mereka dalam bidang politik. Dalam sebuah artikel yang bertajuk 'Sabah’s Pioneering Women Doctors' telah menyentuh mengenai kejayaan dua lagi tokoh wanita Sabah dalam bidang perubatan. Mereka adalah Datin Dr. Lucy Chong dan Dr. Dymphna Marie Pritchard yang merupakan salah seorang penuntut di Sekolah Menengah St. Francis Convent, Kota Kinabalu (pada hari ini). Datin Dr. Lucy Chong dalam satu temu ramahnya mengatakan bahawa beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Sydney pada tahun 1965. Beliau adalah wanita Cina Sabah yang menjadi doktor wanita pertama Sabah dan meyumbangkan khidmatnya di Hospital Queen Elizabeth sebagai pegawai perubatan pada tahun 1967. Manakala, Dr. Dymphna pula bergraduasi dari Universiti Australia Barat pada tahun 1969 dan merupakan wanita bumiputera yang pertama menjadi seorang doktor. Beliau telah menyumbangkan khidmatnya di Hospital Queen Elizabeth sebagai pegawai perubatan pada Februari 1971.Kejayaan kedua-dua tokoh ini mengambarkan kemampuan golongan wanita itu bukan sahaja dalam satu ruang sahaja tetapi juga dalam apa jua perkara yang diceburi. Hal ini menjadi titik permulaan terhadap golongan wanita dalam mewujudkan daya saing dengan golongan lelaki dan tiada alasan kepada kaum wanita untuk tidak mampu berjaya sama seperti golongan lelaki. (Mary Chin, 2000).
Pendorong kepada Kebangkitan Golongan Wanita di Sabah
Golongan wanita bukan sahaja mempunyai inisiatif untuk mengubah kehidupan namun dorongan persekitarannya juga menjadikan mereka bangkit dari ruang kongkongan yang selama ini membataskan keterlibatan mereka dalam ruang masyarakat. Pada peringkat awal sudah pasti golongan wanita ini dipandang rendah dalam masyarakat namun pandangan tersebut kemudiannya berubah setelah pelbagai usaha direncanakan oleh pihak kerajaan terutamanya dalam menjaga kebajikan kaum wanita.
Salah satu pendorong dan pemangkin bagi kaum wanita dalam meningkatkan status kehidupan mereka adalah melalui tranformasi yang dijalankan oleh kerajaan Sabah. Polisi yang diamalkan oleh kerajaan Sabah yang menghapuskan sistem perhambaan telah menjadi punca dan titik tolak kepada kebangkitan secara agresif oleh kaum wanita di Sabah. Pelbagai sekolah telah dibangunkan selepas itu dan golongan wanita kemudiannya telah diberikan peluang pendidikan yang secukupnya iaitu dari peringkat sekolah menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Pemikiran sempit golongan wanita menjadi luas kerana mereka kini sudah terdedah dengan kesedaran daya saing dalam dunia realiti. Tidak hairanlah pada awal tahun 1980-an dan tahun-tahun seterusnya, didapati bahawa golongan wanita semakin mengorak langkah ke hadapan seiring dengan perubahan yang berlaku dalam ruang masyarakat. (N.B.N & Sabah Times, 1960).
Selain itu, kerajaan juga telah memberikan peluang terhadap golongan wanita untuk menceburi pelbagai bidang terutamanya dalam dalam hal ehwal pentadbiran. Golongan wanita kelihatan beusaha dalam menyaingi golongan lelaki untuk mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti bidang perubatan, pendidikan, keselamatan dan pelbagai lagi. Pada lewat tahun 1980-an, tokoh-tokoh wanita Sabah telah muncul dan banyak menerima anugerah dan penghargaan atas jasa mereka dalam bidang yang diceburi. Sehingga ke hari ini, tokoh wanita di Sabah semakin bertambah disebabkan mereka ini semakin berpendidikan dan setaraf dengan golongan lelaki. Malah kebanyakkan sektor pekerjaan di Sabah pada hari ini dipelopori oleh golongan wanita.



