



Laman ini bertujuan untuk memberi panduan kepada masyarakat umum berkenaan Sejarah Wanita atau Women's History. Skop tempat kajian ialah di Sabah dan dapatan penyelidikan dipersembahkan secara kronologi. Sejarah Wanita terdiri daripada pelbagai skop misalnya tokoh-tokoh wanita, perburuhan dalam kalangan wanita, keluarga dan masyarakat, seksual, feminisme, dan wanita dalam peperangan. Laman ini hanya mengetengahkan dapatan penyelidikan yang bermula dengan sejarah wanita semasa era eksploitasi ke atas wanita di zaman penjajahan diikuti dengan kebangkitan wanita melalui gerakan feminisme apabila isu-isu penindasan dalam kalangan wanita semakin mendapat pendedahan dalam kalangan masyarakat. Akhir sekali, dapatan penyelidikan memaparkan kemunculan tokoh-tokoh wanita moden di Sabah. Perkembangan dalam peranan wanita menunjukkan bagaimana peristiwa penting yang telah berlaku dan melibatkan wanita memberi peluang kepada wanita untuk menonjol. Hal ini telah mewujudkan perspektif baru dalam bidang pensejarahan dengan kewujudan Sejarah Wanita kerana dalam konteks konservatif, peranan wanita tidak dianggap penting dan setiap keputusan ditentukan dan didominasi oleh kaum lelaki. Bukan itu sahaja, pemikiran konservatif menganggap bahawa sumbangan wanita tidak sebesar lelaki apabila golongan wanita hanya terbatas untuk menguruskan rumah tangga, melahirkan anak untuk warisan keluarga suami, dan tidak berupaya untuk memajukan diri kerana sifat lemah lembut yang ada pada wanita. Justeru, kewujudan laman ini akan mendedahkan rahsia di sebalik kemegahan wanita moden yang mempunyai martabat tinggi pada hari ini.
Women's History
Women’s History merupakan satu bidang kajian yang berkisarkan mengenai peranan yang telah dimainkan oleh wanita dalam sejarah melalui kaedah-kaedah tertentu dalam mengkaji sejarah tersebut. Ia merupakan satu pengkajian terhadap sejarah perkembangan hak-hak wanita menerusi catatan sejarah. Memetik pendapat Gerda Lerner dalam bukunya Woman and History (1986) yang menyatakan;
"When I started working on women's history about thirty years ago, the field did not exist. People didn't think that women had a history worth knowing."
Sebelum tahun 1970, Women’s History tidaklah menjadi satu subjek penting dan ditekankan dalam sesebuah kajian. Pensejarahan berkenaan wanita ini mula ditonjolkan apabila kesan-kesan yang berlaku selepas munculnya Women’s History melalui beberapa peristiwa bersejarah berkaitan wanita. Dalam pengkajian ini, dipercayai bahawa terdapat rekod-rekod atau sumber sejarah tradisional yang terlepas pandang oleh sejarawan atau diabaikan yang mana telah menyentuh mengenai sumbangan wanita dan impak daripada sejarah tersebut. Oleh itu, secara keseluruhan, sejarah wanita lebih berbentuk Sejarah Revisionisme iaitu satu bidang yang cuba mencabar atau mengembangkan kepentingan sejarah tradisional yang lebih didominasi oleh lelaki.
Faktor-faktor Pencetus Women’s History
Terdapat beberapa faktor penting yang menyumbang kepada munculnya Sejarah Wanita. Pertama, pergerakan wanita pada tahun 1960-an menyebabkan ramai wanita yang mempersoalkan ketidakwujudan mereka dalam teks Sejarah Tradisional Amerika sehingga mereka mewujudkan satu gerakan yang memperjuangkan hak dan kepentingan kaum wanita. Hal ini turut dijelaskan oleh June Purvis yang mengatakan bahawa;
"History was written mainly by men and about men's activities in the public sphere-war, politics, diplomacy and administration. Women are usually excluded and, when mentioned, are usually portrayed in sex-stereotypical roles, such as wives, mothers, daughters and mistresses. History is value-laden in regard to what is considered historically 'worthy'."
Selain itu, wujud juga gerakan dalam membangkitkan aspirasi serta peluang wanita dalam bidang kerjaya. Melalui pergerakan tersebut, perkembangan sejarah wanita mula terbina. Antara gerakan-gerakan yang wujud adalah melalui peranan badan-badan pertubuhan, universiti-universiti dan kolej-kolej wanita, golongan feminis, kemunculan artisan-artisan wanita dan munculnya golongan wanita yang menjadi pencetus kepada revolusi sehinggalah menetapkan satu tarikh yang khas dalam menghargai peranan wanita dalam sesuatu dunia sosial iaitu Women's History Month pada bulan Mac setiap tahun.
Hasil Perkembangan Women’s History
Sebelum tahun 1970, Sejarah Wanita merupakan satu subjek kajian yang tidak dipandang serius. Hal ini dibuktikan melalui pendapat seorang ahli sejarah iaitu Mary Beth Norton yang mengatakan bahawa:
“Only one or two scholars would have identified themselves as women’s historians, and no formal doctoral training in the subject was available anywhere in the country."
Kesedaran terhadap peranan kaum wanita mula disemai melalui satu usaha yang bermula pada tahun 1978 di Sorono County, California melalui ‘Minggu Sejarah Wanita’. Oleh itu, 'Hari Wanita Kebangsaan' telah diisytiharkan dan berlangsung pada 8 Mac. Pada tahun 1981, Senator Omin Hateh dan Rep. Barbara Mikulski ditaja oleh satu resolusi kongres telah mengisytiharkan agar diwujudkan satu 'Minggu Sejarah Wanita Kebangsaan' dan elepas itu, pada tahun 1987, kongres tersebut diperluaskan sambutannya ke bulan Mac dan mengisytiharkan sambutan pada bulan tersebut untuk menghargai peranan wanita dalam sejarah.
Ringkasnya, perkembangan Women’s History ini bergerak seiring dengan peranan yang dimainkan oleh golongan wanita dan mula diangkat kekuatannya melalui catatan sejarah. Ia membicarakan mengenai peranan mereka melalui penekanan hak dan kesamaan wanita, kerjaya, seks dan peranakan, pakaian, status, agama dan kebajikan. Tujuan keatas tindakan-tindakan mereka ini bertujuan untuk mendapatkan kualiti hidup yang sama diatas nama kemanusiaan.



