top of page

Era penjajahan British di Borneo Utara pada akhir abad ke-19 merupakan satu titik tolak kepada perubahan sistem perhambaan tradisonal yang diamalkan oleh masyarakat tempatan. Kegiatan perhambaan tradisional ini merupakan pengaruh daripada kesultanan Sulu yang melihat hamba sebagai sesuatu yang penting dalam perkembangan politik dan ekonomi. Tambahan lagi, hamba pada ketika itu dikatakan bukan sahaja sebagai orang suruhan, namun hamba juga dijadikan buruh yang bertugas untuk mengumpul hasil hutan dan hasil laut serta membantu di dalam aktiviti pelayaran dan perdagangan.

 

          Setelah kedatangan kuasa British iaitu Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) ke Borneo Utara, dasar-dasar British telah diperkenalkan kepada masyarakat tempatan yang merangkumi golongan memerintah dan golongan yang diperintah. Dasar monopoli SBBUB ke atas penduduk tempatan juga merupakan salah satu penerusan kepada kegiatan perhambaan yang telah melonjakkan kerisauan pihak SBBUB pada ketika itu. Rentetan daripada kegiatan perhambaan yang meluas di Borneo Utara , pihak SBBUB telah mengambil langkah mengatasi dengan mencari inisiatif lain untuk menghapuskan kegiatan ini. Selari dengan hasrat penghapusan kegiatan perhambaan, pelbagai dasar dan undang-undang telah dilakukan oleh kerajaan SBBUB untuk mengatasi masalah ini. William Pryer iaitu residen di Sandakan dikatakan telah membeli hamba-hamba daripada tuan-tuan mereka dan kesemua hamba-hamba tersebut telah dijadikan sebagai buruh bagi membangunkan Bandar Elopura. Malah, beliau mempunyai hasrat untuk membebaskan kesemua hamba-hamba tersebut secara berperingkat. Ini terbukti pada tahun 1878, beliau telah mengambil kesempatan ke atas tuan-tuan yang mengalami kesempitan kewangan dengan membeli hamba-hamba mereka yang mana hamba lelaki berharga $40.00 dan hamba wanita bernilai $60.00.

 

Selain daripada inisiatif yang dilakukan oleh William Pryer di Sandakan, kerajaan SBBUB juga mewujudkan satu bentuk perundangan yang dikenali sebagai undang-undang perhambaan. Kandungan undang-undang perhambaan ini melarang mana-mana bangsa untuk membeli, menyewa, memiliki atau menjadi tuan kepada sebarang hamba di seluruh wilayah Borneo Utara. Pada tahun 1883, sebuah lagi undang-undang perhambaan telah digubal oleh pihak SBBUB yang menetapkan bahawa semua hamba imigran di Borneo Utara akan dibebaskan dan penduduk tidak boleh membeli hamba. Di samping itu, kerajaan SBBUB turut menetapkan bahawa setiap kanak-kanak yang dilahirkan dianggap sebagai rakyat yang merdeka.

 

          Walau bagaimanapun, selepas kejayaan kerajaan SBBUB dalam mengatasi kegiatan perhambaan di Borneo Utara terdapat penemuan empirikal jika ditafsirkan dari segi perbahasan teori akan kewujudan sistem buruh paksa yang dilihat sebagai ‘sistem perhambaan baru’ atau dari perspektif lain iaitu ‘buruh paksa’. Hal ini menjelaskan bahawa sistem buruh paksa yang diperkenalkan oleh kerajaan SBBUB sebenarnya adalah bayangan kepada sistem perhambaan kerana mereka disuruh melakukan pekerjaan tanpa gaji atau tidak diberikan balasan yang setimpal khususnya buruh paksa wanita yang mengalami diskriminasi oleh kerajaan BBUB. Perkara ini melihat bahawa keterilibatan dalam aktiviti perburuhan menghadapi kerendahan dari aspek perlindungan dan keselamatan (Thika Marliana, 2012). Buruh paksa wanita ditempatkan di estet-estet perladangan yang mana tugas mereka seperti menebas rumput, menoreh getah dan mengumpul susu getah. Pekerja buruh paksa wanita adalah daripada kalangan wanita tua, ibu-ibu, remaja dan kanak-kanak. Faktor dominan yang telah mempengaruhi kaum wanita untuk menerima perkerjaan buruh adalah berdasarkan latar belakang kehidupan mereka yang sangat daif dan menjadikan mereka tidak mempunyai pilihan selain menerima sebarang pekerjaan tanpa berfikir panjang. Namun begitu, golongan wanita tersebut dianggap menerima pekerjaan secara membabi buta tanpa memikirkan perkara yang bakal dilalui oleh mereka. Hal ini jelas terpancar apabila kerajaan SBBUB telah mengatur muslihat dengan menjadikan golongan wanita tersebut sebagai buruh paksa tanpa dibayar gaji. Dengan kata lain, ianya adalah suatu mimpi ngeri yang telah menghantui para wanita tersebut.

 

          Selain daripada eksploitasi dengan menjadikan buruh wanita sebagai buruh paksaan, mereka juga turut dieksploitasi dari aspek gangguan seksual. Wanita yang ditindas dilihat menjadi mangsa kerakusan golongan majikan terutamanya dari aspek pembayaran gaji dan pencabulan kehormatan. Hal ini dapat dilihat apabila pegawai-pegawai, pemilik estet atau tentera-tentera SBBUB telah menjadikan buruh paksa wanita sebagai tempat pelepasan nafsu mereka. Lebih malang lagi, apabila wanita-wanita itu tidak pernah terfikir bahawa nasib mereka akan menjadi permainan kepada kerajaan SBBUB. Perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu dilakukan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan oleh pegawai-pegawai atau tentera-tentera SBBUB ke atas buruh paksa wanita tersebut. Betapa rendahya maruah wanita pada ketika itu seperti mana yang diperlakukan oleh kerajaan SBBUB tanpa menghormati hak-hak wanita. Sebagai contoh , tentera SBBUB yang ditugaskan di estet-estet berani memperkosa buruh paksa wanita yang sedang menoreh getah dengan mengheret wanita tersebut ke dalam semak yang tebal. Bukan itu sahaja, para tentera tersebut telah memperkosa seorang wanita secara bergilir-gilir tanpa belas kasihan.

 

         Intihanya, eksploitasi buruh paksa wanita oleh kerajaan SBBUB dilihat sebagai cerminan kepada kekejaman kegiatan perhambaan yang dahulunya telah dihapuskan. Keadaan ini telah menindas golongan buruh paksa wanita yang awalnya berada dalam kesusahan dan dikeruhkan lagi dengan nafsu buas para pegawai dan tentera SBBUB yang tiada kesudahannya. Oleh itu, wajarlah wujud kesedaran terhadap golongan wanita pada masa hadapan yang bangun untuk menuntut hak-hak kebebasan seperti kebangkitan tokoh-tokoh feminisme yang memperjuangkan kedudukan wanita sehingga mencapai kepada sejarah wanita di Borneo Utara.

 

Sistem ‘Comfort Women’ Melalui Perspektif Kerelaan

 

Semasa zaman kolonial di Asia, sistem comfort women sudah mula dijalankan bagi memuaskan nafsu tentera-tentera Kolonial. Comfort women dalam istilah melayu membawa maksud kepada wanita yang memberi keselesaan. Golongan wanita yang menjadi comfort women semasa era kolonial bukan sahaja terdiri daripada golongan wanita muda bahkan juga golongan wanita tua turut terlibat dalam sistem comfort women ini dalam memberi kepuasan nafsu kepada tentera-tentera kolonial ini. Hal ini disebabkan oleh keadaan yang daif dan tekanan daripada keluarga telah menyebabkan golongan ini melibatkan diri secara sukarela dalam kegiatan comfort women ini. Kegiatan comfort women ini semakin menular dan menjadi semakin teruk semasa pendudukan Jepun di Asia. Tambahan lagi, dasar yang dijalankan oleh Jepun lebih kepada cara fasis dimana penindasan dan paksaan berlaku terhadap golongan wanita dan bagi menambahkan lagi bilangan comfort women di comfort station. Keadaan ini menjadi semakin terhadap golongan wanita kerana mereka tidak mempunyai hak untuk  menuntut keadilan terhadap diri mereka. Walaubagaimanapun, terdapat catatan sejarah misalnya seperti yang dinyatakan oleh Lee Yeong-Hun dan Ikuhiko Hata yang mengesahkan bahawa pengambilan wanita untuk keselesaan adalah secara sukarela. Namun terdapat juga pendapat sejarawan lain yang menggunakan testimoni daripada wanita bekas keselesaan dan askar Jepun yang masih hidup dan menghujahkan bahawa tentera Imperial Jepun dan tentera laut sama ada secara langsung atau tidak langsung memaksa, memperdaya, memancing, dan kadang-kadang menculik wanita muda di seluruh wilayah yang diduduki Jepun untuk diperalatkan bagi memuaskan nafsu mereka.  Walaupun perkara ini kebanyakannya dianggap sebagai bayangan hitam kepada golongan wanita, namun masih ada juga wanita yang sanggup melibatkan diri secara rela atas sebab-sebab seperti berikut.

 

  • Mempunyai nafsu seks yang abnormal

  • Tekanan ekonomi keluarga (kemiskinan)

  • Ketamakan kepada kemewahan (materialistik.)

 

Nafsu seks yang Abnormal

 

Nafsu seks yang abnormal bermaksud, mereka membuat hubungan seks dengan kerelaan dan biasanya keinginan mereka itu diluar jangkaan. Atas dasar alasan “ketagih” terhadap benda ini menyebabkan mereka mudah teransang dengan sentuhan lelaki dan sanggup melakukannya berkali-kali tanpa rasa puas. Selain itu, faktor hormon testosterone (hormon wanita) sangat tinggi sehingga menyebabkan mereka tahan untuk mengadakan seks dalam masa yang lama. Tidak hairanlah jika diikuti daripada kajian-kajian luar mengenai comfort women ini, golongan wanita mampu melayan hampir lima puluh orang dalam sehari.

 

Tekanan Ekonomi Keluarga. (Kemiskinan)

 

Semasa zaman kolonial di Asia terutamanya di Sabah, peluang pekerjaan sangat terhad. Kebanyakan mereka menjadi buruh di ladang-ladang dan mereka dibayar gaji yang sedikit. Hal ini menyebabkan mereka terdesak dan mencari jalan lain yang lebih mudah bagi keluar daripada belenggu kemiskinan ini. Pada masa yang sama juga mereka melihat kelompok comfort women ini mudah mencari pendapatan dengan hanya melayan tentera-tentera jepun yang “loaded” (berduit). Oleh itu sistem Comfort Women ini dianggap satu peluang atau satu jalan penyelesaian kepada mereka untuk mengubah taraf hidup mereka yang dibelenggu kemiskinan.

 

Ketamakan kepada Kemewahan (Materialistik)

 

Setelah sekian lama golongan wanita ini melayan tentera-tentera, mereka telah mendapat wang yang banyak hasil daripada layanan yang mereka berikan. Keadaan ini menyebabkan keinginan semula jadi wanita kepada barangan perhiasan dan alat kecantikan seperti pakaian-pakaian dan barangan kemas yang serba indah telah mampu dimiliki oleh mereka. Golongan wanita juga mahu sentiasa kelihatan cantik dan wang yang mereka perolehi telah digunakan untuk meningkatkan status serta taraf hidup mereka dalam masyarakat. Oleh itu, walaupun kedudukan wanita pada zaman ini biasanya ditindas dan dipandang rendah, namun sekiranya mereka mampu bertahan mereka akan berjaya mencapai impian mereka dan memperbaiki taraf sosial mereka.

 

Contoh Kajian Kes Di Negara Lain                                                      

 

Jepun.

 

Ada juga kajian kes mengenai golongan wanita terlibat dengan comfort women di Jepun secara sukarela. Menurut Yoshiaki Yoshimi dari Institut Jepun Kebangsaan Pengajian Pertahanan, telah menerbitkan bahan yang dijumpainya dari arkib negara Jepun mengenai kerelaan golongan wanita Jepun yang melibatkan diri dalam sistem comfort women dengan melayan tentera Jepun. Pada 6 Julai 1993 dan 4 Ogos tahun 1993, kerajaan Jepun telah mengeluarkan dua kenyataan yang berkaitan dengan sistem comfort women iaitu yang pertama stesen Keselesaan telah dikendalikan sebagai tindak balas daripada permintaan para tentera. Bagi berjuang dan mempertahankan negara, tentera-tentera Jepun telah diberikan keseronokan dengan memuaskan nafsu terhadap golongan wanita atau perumpamannya ‘wanita dijadikan daging mentah untuk dimasak dalam pelbagai cara demi mengenyangkan anjing-anjing yang lapar’. Kenyataan kedua pula ialah pemindahan comfort women dimana wanita direkrut melalui rayuan dan paksaan. Contohnya golongan wanita Jepun telah direkrut ke Korea Selatan untuk dijadikan comfort women di stesen Jepun di sana. Namun perjalanan mereka ke sana mendapat  pelbagai halangan sehinggakan ramai wanita-wanita telah terseksa dan terbunuh. Oleh itu, pada 17 Januari 1993 Perdana Menteri Jepun Kiichi Miyazawa telah menyampaikan permohonan maaf rasmi kepada rakyat Jepun terutamanya keluarga mangsa bagi penderitaan mangsa, semasa dalam perjalanan ke Korea Selatan.

 

Sabah

 

Kolonisasi di Borneo Utara bermula dengan kemasukan Syarikat Borneo Utara British (SBUB) pada tahun 1881. Sistem Comfort women di Sabah sudah mula dilaksanakan semasa pendudukan British lagi cuma tidaklah meluas sehingga ke seluruh pelusuk Borneo Utara. Hal ini kerana hanya sesetengah kawasan sahaja yang dijadikan stesen untuk Comfort Women. Perspektif perbincangan ini mengetengahkan golongan wanita yang tidak menganggap bahawa comfort women sebagai suatu penindasan sebaliknya wanita-wanita yang berfikiran terbuka ini menganggap bahawa mereka perlu menggunakan kelebihan fizikal mereka untuk mengeksploitasi lelaki kerana tarikan seksual wanita merupakan kelemahan utama lelaki.Ladang-ladang getah dan tembakau giat dibuka pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Estet-estet perladangan ini dibuka di sekitar Tawau, Sandakan dan Kudat manakala ladang tembakau pula kebanyakan dibuka di bahagian pantai timur Sabah. Buruh-buruh yang diupah untuk mengusahakan ladang ini terdiri daripada buruh luar seperti buruh dari China yang dibawa masuk oleh pihak British kerana penduduk tempatan kurang mahir dalam menggerakkan pertanian komersial.

 

 Bagi memastikan buruh-buruh luar ini tidak berpaling tadah dengan mereka, British harus melakukan sesuatu untuk memenuhi kehendak mereka. Salah satu cara mereka ialah dengan menggalakkan aktiviti pelayanan wanita ke atas buruh-buruh lelaki di dalam estet perladangan. Golongan wanita ini juga merupakan pekerja di ladang-ladang tersebut cuma pada waktu malam mereka akan melayan buruh-buruh lelaki. Ini memberi gambaran bahawa wanita-wanita pelayan ini merupakan bayangan kepada comfort women. Kebanyakan wanita yang memasuki estet perladangan sebagai buruh ini melakukan kegiatan ini tanpa paksaan dengan tujuan mendapatkan sumber kewangan lebih yang mana tidak mungkin dapat diperolehi daripada kerja mereka sebagai buruh. Akhirnya, golongan ini secara perlahan-lahan bertambah selesa melakukan kerja mereka kerana mereka dibayar. Bukan itu sahaja, perkara seperti ini berlarutan di estet-estet perladangan sehinggalah tahun 1940-an. Hal ini disokong apabila kajian kes mengenai Comfort Women yang ditindas semasa pemerintahan British adalah sedikit dan tiada bukti kukuh jika diibanding semasa pemerintahan Jepun di Sabah.

 

Kesimpulan

Jika diperhatikan semasa zaman kolonial sahaja wujudnya comfort women ini dan mereka sangat berguna untuk kaum lelaki. Akibat daripada desakan ekonomi yang tidak baik menjadi pendorong mereka untuk bergiat aktif dalam melakukan perkara ini. 

 

Thika Marliana. 2012. Tesis tentang Kajian Tentang Pengalaman Hidup Perempuan Korban Traffiking

           dalam Perspektif Kesehatahan Jiwa. Universitas Indonesia.

SUMBER DAN BACAAN LANJUT

© 2013 UMS History Programme (HA 24) 

bottom of page