



Pengenalan
Semasa penghujung tahun 1930, pihak Pentadbiran Syarikat Berpiagam telah mengarahkan siasatan dijalankan terhadap amalan penyimpanan Mui Tsai dalam kalangan keluarga masyarakat Cina. Mui Tsai merupakan suatu sistem perhambaan moden yang telah wujud sekitar awal abad ke-20 yang bertujuan untuk mengeksploitasi tenaga buruh wanita bagi memelihara kepentingan ekonomi Tuan (majikan) kepada Mui Tsai sepertimana yang pernah berlaku di Sabah.
Definisi
Mui Tsai bermaksud 'gadis kecil' yang dibawa oleh keluarga-keluarga masyarakat Cina sebagai orang gaji dalam usia yang masih muda dan digelar sebagai sim-khiu-tsai (bakal menantu). Disebalik anugerah gelaran ‘anak menantu’, sebenarnya mereka ini terdedah dengan penderaan yang selalu dilakukan oleh ka-kon (bapa mertua) dan ka-nyong (ibu mertua).Selain daripada digelar ‘menantu perempuan’, mereka ini diperlakukan tidak kurang seperti pembantu tanpa upah dan kebanyakkannya tidak dijodohkan dalam keluarga-keluarga Cina (majikan mereka).
Permasalahan Sistem Mui Tsai
Amalan menjaga Mui Tsai oleh keluarga Cina tidak hanya wujud di Sabah. Pada asalnya, amalan ini berasal dari China dan tersebar ke kawasan-kawasan di Asia Tenggara oleh komuniti Cina. Semasa di Hong Kong, pentadbiran British telah mula memantau sistem Mui Tsai seawal tahun 1878. Perkara tersebut menarik perhatian terhadap Sabah terutamanya selepas pentadbiran British di Tanah Melayu menubuhkan suruhanjaya pada tahun 1937 untuk menyiasat nasib Mui Tsai. Walau bagaimanapun, di Sabah amalan ini seolah-olah menjadi kurang popular. Isu Mui Tsai buat pertama kalinya dibangkitkan di Sabah pada tahun 1914. Kertas cadangan telah dibuat oleh Lam Man Ching iaitu seorang Kapitan Cina di Sandakan untuk mewujudkan satu 'penempatan selamat' (halfway house) dibawah peruntukan-peruntukan Ordinan Perlindungan Wanita 1902. Ia adalah sebagai penempatan Mui Tsai bagi yang mahu meninggalkan majikan mereka. Cadangan tersebut ditujukan kepada Majlis Undangan Negeri tanpa membuahkan hasil yang sewajarnya. Berkemungkinan perkara tersebut dianggap tidak terlalu serius untuk mewajarkan apa-apa langkah yang khas dilakukan.
Malah semasa tahun 1930, terutamanya selepas penubuhan Suruhanjaya Mui Tsai di Tanah Melayu, pihak pentadbiran menganggap perkara itu telah menjadi lebih serius dan mengambil keputusan untuk menyiasat lebih lanjut masalah tersebut. Berikutan penyiasatan oleh Pejabat Negeri Protektorat Cina tersebut, Ordinan Perkhidmatan Domestik Wanita 1930 telah diisytiharkan di Sabah. Ordinan tersebut adalah serupa dengan undang-undang yang diperkenalkan di Hong Kong dan Malaya. Majikan atau penjaga Mui Tsai dikehendaki mendaftar gadis-gadis Mui Tsai mereka di pejabat Perlindungan China dan kemudiannya akan memantau kebajikan Mui Tsai untuk memastikan bahawa mereka tidak dieksploitasi.
Semasa pendaftaran pertama Mui Tsai dalam tahun 1930, 18 orang gadis telah didaftarkan. Bilangan mereka berubah kepada 12 orang pada akhir tahun 1934 dan 10 orang dalam bulan Jun 1935, tujuh orang dalam bulan Januari 1936 dan empat orang dalam bulan Jun 1936. Pada bulan Julai 1941 terdapat hanya dua orang sahaja yang telah didaftarkan. Pihak Protektorat mengaitkan antara sebab bagi Mui Tsai meninggalkan majikan mereka kerana pelbagai sebab seperti faktor perkahwinan.Walau bagaimanapun, seperti di tempat lain, angka tersebut tidak mewakili kejadian sebenar kerana kebanyakan majikan tidak mendaftar Mui Tsai mereka dengan Pejabat Protektorat Cina ini.
Usaha-usaha untuk menguatkuasakan segala peruntukan Ordinan tahun 1930 tertumpu kepada penyiasatan dan pendakwaan seperti mendakwa majikan kepada Mui Tsai yang tidak berdaftar.Terdapat juga cubaan dalam memaksa agar majikan yang berdaftar membayar upah kepada Mui Tsai. Disebabkan oleh kelicikan majikan Mui Tsai, kakitangan Protektorat juga berhadapan dengan masalah dalam menentukan sama ada seorang gadis tersebut merupakan Mui Tsai yang tidak berdaftar atau anak angkat perempuan sebenar atau anak menantu.
Pihak Pentadbiran Syarikat Berpiagam tidak begitu cenderung untuk menyelesaikan masalah ini rentetan bilangan Mui Tsai yang berdaftar semakin mengecil. Malah, sesetengah pihak merasakan bahawa tumpuan utama harus diberikan terhadap manfaat dan perlindungan bagi bumiputera berbanding membelanjakan hasil kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah kumpulan imigran Cina. Fokus utama pihak pentadbiran adalah memastikan bahawa Mui Tsai tidak didera dan dilayan kejam oleh majikan mereka. Walaupun banyak laporan tentang kekejamandan penderaan terhadap beberapa orang Mui Tsai yang telah melarikan diri dari para majikan, pihak pentadbiran tidak mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mempertimbangkan masalah tersebutdan menganggapnya seperti tidak penting untuk mengambil tindakan yang serius. C.R. Smith, setiausaha Kerajaan yang kemudiannya menjadi Gabenor, telah mencadangkan gadis Cina bawah umur di negeri tersebut diputuskan bagi memenuhi permintaan untuk diperisterikan agar ia mungkin akan mencegah sistem Mui Tsai disebut sebagai sesuatu yang zalim. Kerana bagi Smith, beliau menekankan kepercayaan bahawa adalah sia-sia bagi Syarikat Berpiagam untuk membelanjakan dana kerajaan untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Kisah Chu Moi
Dalam tahun 1940, pihak Pentadbiran Syarikat Berpiagam memutuskan untuk melaksanakan Federated Malay States Children Enactment yang lebih relevan untuk menyelesaikan masalah Mui Tsai. Ketika membuat cadangan kepada kerajaan, J.S. Abernethly, penasihat undang-undang merangkap Setiausaha Protektorat Hal Ehwal Cina, menekankan isu Mui Tsai di Jesselton setelah mengetahui kisah Chu Moi. Kisah Chu Moi yang diceritakan di sini adalah untuk memberikan gambaran tentang kehidupan Mui Tsai yang dilayan dengan teruk oleh 'keluarga' mereka.
Kisah ini berkisar tentang Chu Moi yang berumur 15 tahun sewaktu beliau membuat kenyataan kepada Lee Jong Nyuk iaitu Ketua Kerani Protektorat. Dia dijumpai dalam keadaan kotor dan kelaparan berhampiran rumah Lee Jong Nyuk. Menurut Chu Moi dia telah dibawa ke Sabah sebagai sam-pu-tsai (gadis menantu) kepada keluarganya ka-kon (bapa mertua) yang bernama Chong dan menetap di Batu Tiga, Jesselton. Chu Moi bekerja sehingga pukul 10 malam dan ditugaskan menyiram dan membaja sayur-sayuran dengan menggunakan baja babi. Kebiasaannya ketika beliau kembali ke rumah, beliau diberikan makan malam dan meneruskan tugasnya dengan mengemas rumah. Menurut beliau, ketika beliau sedang menjamu makanannya, semua orang yang berada di rumah telah pun tidur.
Dakwaan beliau, makanan yang diberikan kepadanya adalah lebih teruk daripada apa yang diberikan kepada babi-babi ternakan. Ketika menetap bersama keluarganya beliau sering kali dipukul oleh bapa mertuanya yang merupakan seorang yang panas baran dan ibu mertuanya pula sering menyalahkan beliau. Disebelah pagi, beliau membantu bapa mertuanya untuk mengangkat sayu-sayuran ke pasar di Jesselton sebelum pulang semula ke rumah untuk melakukan tugasan di rumah atau di kebun. Chu Moi ditugaskan untuk mengumpul kayu api, mengumpul sampah dari isi rumah yang lain untuk memberi makan kepada babi-babi ternakan. Chu Moi mendakwa bahawa dia tidak tahan lagi dengan penderaan dan melarikan diri dari bapa mertuanya. Laporan Chu Moi tersebut telah ditandatangani dengan cap ibu jari kiri beliau kerana berkemungkinan beliau merupakan seorang yang buta huruf.Walaupun statusnya sebagai seorang gadis yang digelar ‘menantu’, Chu moi tidak mempunyai kemungkinan sedikitpun untuk menjadi seorang ‘menantu’ sebenar. Malah, keadaan sebenar beliau adalah serupa seperti seorang hamba.
Amalan membela Mui Tsai di Sabah berkemungkinan berlanjutan ketika pendudukan Jepun. Proses imigresen selepas perang menjadi lebih ketat, lantas kedatangan Mui Tsai baru semakin berkurang di Sabah. Setelah itu, kebanyakan tugas-tugas mereka di ambil-alih oleh amah (pembantu rumah Indonesia) profesional yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah. Ketika tahun 1950, bilangan wanita Cina juga meningkat, lantas mengurangkan permintaan untuk menggunakan khidmat Mui Tsai.



