top of page

Era ekploitasi semasa zaman penjajahan ke atas wanita menunjukkan bagaimana wanita-wanita ini dipergunakan untuk tujuan tertentu dan tidak memberi sebarang manfaat kepada golongan wanita yang dieksploitasi. Penulisan ini akan memberikan gambaran tentang kewujudan eksploitasi ke atas wanita-wanita di Sabah semasa zaman penjajahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) dan zaman penjajahan Jepun ke atas Borneo Utara atau Sabah. 

 

Konsep Eksploitasi 

Menurut Sample R.J. dalam penulisannya Exploitation : What It Is And Why It Is Wrong menjelaskan bahawa eksploitasi merupakan perbuatan mempergunakan individu atau sekumpulan masyarakat untuk tujuan yang tidak berperikemanusiaan atau tidak adil. Masyarakat secara umum kerap mentakrifkan istilah eksploitasi dalam bentuk eksploitasi ekonomi sedangkan hakikatnya eksploitasi merupakan pengerahan tenaga ke atas individu lain untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu sahaja tanpa memberi ganjaran setimpal kepada golongan yang dieksploitasi tidak kiralah untuk kepentingan politik, ekonomi, mahupun sosial.  Perkara ini terjadi ke atas wanita-wanita di Sabah semasa zaman penjajahan kuasa asing. Terdapat dua pandangan major berkenaan eksploitasi; pertama di peringkat mikro yang merujuk kepada eksploitasi kelompok tertentu sahaja oleh organisasi yang lebih berkuasa, kedua eksploitasi di peringkat makro yang merujuk kepada eksploitasi ke atas keseluruhan bangsa atau negara dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial yang dikuasai oleh kuasa dominan. Eksploitasi yang dilakukan juga terdiri daripada eksploitasi secara formal dan eksploitasi secara tidak formal. Beberapa bentuk eksploitasi yang lain secara khusus termasuklah penggunaan buruh paksa, perhambaan, penderaan seksual dan fizikal, pelacuran paksa, pemerdagangan manusia dan sebagainya.

 

Eksploitasi Secara Formal

Eksploitasi ke atas wanita secara formal berlaku apabila wanita-wanita ini dipergunakan melalui perancangan yang sistematik di bawah organisasi khas yang ditubuhkan bagi melancarkan pelaksannannya. Konsep ini lebih kurang sama seperti yang diaplikasi dalam industri pelacuran, industri pornografi, dan industri pemerdagangan manusia. Eksploitasi ke atas wanita di Sabah semasa zaman penjajahan dapat dijelaskan melalui penglibatan wanita-wanita Sabah sebagai pelayan wanita melalui sistem Comfort Women yang diasaskan oleh kerajaan Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan sistem Mui Tsai yang mempergunakan kanak-kanak wanita sebagai hamba sebagai salah satu daripada tradisi masyarakat. Eksploitasi ke atas wanita ini dikatakan sebagai ekploitasi formal kerana perbuatan ekploitasi yang dilakukan ialah disengajakan tanpa mempertimbangkan mangsa kepada eksploitasi ini dalam keadaan rela mahupun terpaksa. Eksploitasi secara formal ini juga dianggap perbuatan yang biasa dan tidak salah di sisi undang-undang apabila organisasi yang terlibat dalam pelaksanaan sistem untuk eksploitasi formal ini menguasai mangsa-mangsa mereka dan mangsa-mangsa mereka tidak mempunyai panduan atau organisasi yang boleh membela nasib mereka.

 

Eksploitasi Secara Tidak Formal

Eksploitasi secara tidak formal banyak berlaku tanpa sedar atau perancangan yang sistematik. Perkara ini dapat digambarkan melalui penindasan seksual di tempat kerja. Semasa zaman penjajahan kuasa asing di Sabah, ramai wanita yang terpaksa menjadi buruh di estet perladangan bagi menampung keluarga. Meskipun wanita-wanita ini diberi gaji sebagai buruh, namun majikan menganggap diri mereka mempunyai hak ke atas pekerja sehingga melakukan penindasan seksual ke atas wanita-wanita ini. Terdapat banyak kes penindasan seksual di etstet perladangan yang ditonjolkan oleh penulis Indonesia semasa penjajahan Belanda di Jawa dan begitu juga di borneo Utara khususnya semasa pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Kes-kes terpencil melibatkan penindasan seksual ke atas buruh wanita di estet perladangan Borneo Utara akan ditonjolkan di bahagian penemuan penyelidikan.

 

Sejarah Eksploitasi Berbentuk Perhambaan Wanita Di Sabah

Perhambaan merupakan suatu amalan yang mengerahkan tenaga manusia serta menafikan hak golongan hamba untuk hidup seperti manusia biasa. Dalam konsep eksploitasi, perhambaan wanita juga dirujuk sebagai salah satu bentuk eksploitasi. Namun demikian, tidak semua bentuk eksploitasi mesti bercirikan perhambaan. Menurut (Bales, K., 2005) dalam bukunya ‘Understanding Global Slavery : A Reader', istilah 'perhambaan' ditakrifkan sebagai status, nasib kehidupan atau keadaan seseorang itu terletak di tangan individu yang dianggap sebagai berhak atau mana-mana pihak yang berkuasa.


          Walaupun amalan perhambaan tidak jelas gambarannya sebelum kedatangan pihak penjajah terutamanya di Sabah, namun golongan wanita pada zaman dahulunya dikerah untuk melakukan tugas yang sama seperti kaum lelaki. Menurut (Staal, J., 2005) dalam bukunya ‘Anthropos’, wanita Dusun pada waktu itu telah ditugaskan untuk mencari kayu api, bekalan air, menumbuk padi, memasak dan menuai padi. Di samping itu, menurut (Roth, H. L., 2012) dalam bukunya 'The Natives of Sarawak and British North Borneo' mengatakan bahawa kaum Murut di kawasan Borneo Utara atau Sabah telah mengamalkan aktiviti perhambaan pada waktu itu. Bagi golongan kaum Murut yang miskin, mereka akan menjual anak-anak mereka untuk melangsaikan hutang mereka. Namun begitu, mengikut adat kaum Murut mereka tetap tidak akan menjual hamba kepada orang lain, melainkan dengan persetujuan hamba itu sendiri. Hal ini bermaksud bahawa anak-anak yang ingin dijual tersebut perlu dengan hati rela menyerahkan diri.


          Di samping itu, menurut (Roth, H. L., 2012) juga, pada zaman kanak-kanak terutamanya bagi kaum perempuan adalah tidak lama di Borneo Utara. Genap umur mereka 12 tahun atau 13 tahun, kanak-kanak perempuan tersebut akan dikahwinkan terutama dengan lelaki yang berumur 30 tahun ke atas atau berkemungkinan lelaki tersebut sudah mempunyai isteri. Menurut (Bayly, C. & Harper, T., 2004) dalam bukunya ‘Forgotten Armies : The Fall of British Asia, 1941-1945', pada zaman penjajahan Jepun ke Borneo Utara, amalan perhambaan wanita pernah berlaku. Seramai 100, 000 orang wanita dan kanak-kanak perempuan telah dipaksa ke dalam perkhidmatan pelacuran sebagai hamba seks. Mereka menggelar kelompok wanita yang dijadikan hamba seks ini sebagai 'Comfort Women”.


          Dalam sorotan yang dilakukan ke atas penulisan  K.G Tregonning, 'The Elimination Of Slavery In North Borneo' pada tahun 1952 menjelaskan penghapusan amalan perhambaan di Borneo Utara telah mengambil masa lebih daripada 20 tahun semasa pemerintahan Syarikat Borneo Utara British Berhad (SBBUB). Penghapusan amalan ini sebagai salah satu daripada dasar terawal SBBUB sebelum membentuk pemerintahan melalui syarikat berpiagam. W.C Cowie menggambarkan semasa kedatangan awal beliau ke Borneo Utara, kegiatan perlanunan dan perhambaan begitu meluas sekali dan boleh dikatakan tidak wujud sebarang undang-undang dan pertauran rasmi dalam pentadbiran Borneo Utara. Sistem anarki yang keterlaluan amat ketara di bahagian pantai timur Borneo Utara sehingga W. Pryer selaku residen di Sandakan menjelaskan bahawa pintu masuk ke pelabuhan Sandakan sentiasa dikuasai oleh lanun dan pedagang-pedagang hamba abdi khususnya hamba dalam kalangan wanita. Borneo Utara semasa pemerintahan Kesultanan Sulu menerima institusi perhambaan dan membenarkan perdagangan hamba di Borneo Utara.


          Kajian K.G.P Tregonning juga menunjukkan di pantai timur Borneo Utara, orang-orang Sulu hanya terdiri daripada dua kelas masyarakat iaitu tuan dan hamba. Golongan yang terpaksa menjadi hamba dipercayai berhutang dengan tuan mereka dan tidak mampu melangsaikan hutang. Golongan hamba ini bukan sahaja terdiri daripada lelaki malahan wanita juga dipaksa untuk menjadi hamba kerana sifat wanita-wanita dahulu yang dianggap lemah dan mudah tunduk dengan lelaki. Walaubagaimanapun, kegiatan perhambaan semasa era tanpa undang-undang dan peraturan rasmi yang seragam di semua kawasan dikatakan sebagai brutal. Kadang-kadang, ada golongan hamba yang sebaik sahaja dilahirkan terus menjadi hamba tanpa mengetahui punca mreka dijadikan sebagai hamba. Pryer telah meneliti suasana di Borneo Utara sebelum beliau mengambil langkah untuk menghapuskan amalan perhambaan di Borneo Utara. Beliau cuba mendapatkan laporan penderaan yang dilakukan ke atas mereka oleh pihak majikan dengan memberi harapan kebebasan kepada golongan hamba ini. Laporan dalam kajian yang dilakukan oleh K.G Tregonning menjelaskan bahawa pada tahun 1877, pasaran hamba dalam kalangan masyarakat Sulu merupakan pasaran yang terbesar di Borneo Utara dan amat menguntungkan. Pada tahun 1878, dianggarkan 600 orang penduduk telah ditangkap di sekitar kawasan pelabuhan Sandakan dan dijual sebagai hamba. Pryer menyatakan bahawa beliau belum bersedia untuk menghapuskan amalan perhambaan ini secara total terutama sekali di bahagian pantai timur Borneo Utara.


          Beberapa langkah yang dilakukan oleh Pryer dalam membebaskan hamba-hamba ini daripada majikan mereka ialah misalnya apabila terdapat hamba yang dilayan dengan teruk oleh majikan, beliau akan membeli hamba tersebut daripada majikannya dengan harga 40 dolar untuk lelaki dan 60 dolar untuk wanita. Kemudian, hamba-hamba yang dibeli ini ditugaskan untuk bekerja dengan beliau bagi melangsaikan hutang tersebut. Pryer merasakan bahawa beliau mampu membebaskan lebih ramai hamba seandainya beliau dapat mengeksploitasi ekonomi Borneo Utara dan menjana lebih banyak kewangan.


          Witti, residen di Tempasuk menjelaskan bahawa dalam tempoh tiga tahun pemerintahan orang Eropah di Borneo Utara, amalan perhambaan yang berlaku semakin berubah dan tidak agresif seperti sebelum kedatangan mereka. Pada tahun 1880, pihak Syarikat Borneo Utara British Berhad berjaya menggesa pihak pemerintah untuk tidak lagi memenjarakan hamba-hamba yang membuat laporan penganiayaan ke stesen polis. Perkara ini telah menyebabkan majikan memberikan layanan yang lebih baik kepada hamba-hamba ini terutama dalam aspek pemakanan mereka. Witti juga menubuhkan dasar untuk menjenayahkan perbuatan membunuh hamba kerana sebelum ini perbuatan membunuh hamba bukanlah satu kesalahan. Witti juga melaksanakan dasar pelangsaian hutang secara menyeluruh setelah tempoh tertentu seseorang hamba berkhidmat kepada tuannya misalnya selepas memberi khidmat selama 10 tahun dan hutang yang dimiliki tidak melebihi 500 dolar maka seseorang hamba itu perlu dibebaskan. Prinsip ini kemudian diguna pakai oleh Dent dan Treacher semasa pentadbiran SBBUB di Borneo Utara dengan penggubalan 'Provisional Rules And Regulations Concerning Slavery' pada tahun 1881. Dalam dasar ini, pihak SBBUB membenarkan pemilikan hamba oleh bangsa Eropah dan bangsa Cina di dalam Borneo Utara namun penindasan ke atas golongan hamba ini dijenayahkan.


          Menurut kajian yang dilakukan oleh K.G Tregonning ini juga menjelaskan pada 1 November tahun 1883, satu pengisytiharan untuk membebaskan para hamba dilaksanakan. Treacher selaku gabenor Borneo Utara ketika itu menjelaskan hamba daripada golongan 'Ulun Ulih Pesaka' yang merupakan hamba yang diwarisi secara turun-temurun dan menjadi adat tradisi dalam sesebuah keluarga dengan 'Ulun Ulih Beli' yang merupakan hamba yang dibeli dan tidak mempunyai sebarang hak dan maruah dalam masyarakat dibebaskan kesemuanya. Pengisytiharan ini telah mendapat sokongan penuh daripada Lembaga Pengarah di London. Walaubagaimanapun, amalan perhambaan masih lagi diamalkan secara berterusan meskipun satu bentuk undang-undang bagi menjenayahkan amalan terseut telah diisytiharkan kerana masih ramai masyarakat yang tidak menyetujui pelaksanaan undang-undang tersebut kerana bercanggah dengan adat dan tradisi turun-temurun.


          Kesimpulannya, perhambaan ke atas wanita di Borneo Utara ini telah lama diamalkan namun mula menjadi satu bentuk jenayah apabila terlalu banyak penindasan yang dilakukan ke atas golongan hamba ini. Selain itu, kedatangan masyarakat barat ke Borneo Utara sedikit sebanyak telah memberi kesedaran kepada pemerintah untuk mengangkat martabat wanita di Borneo Utara sebagai mengiktiraf sumbangan golongan wanita dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Bales, K. 2005. Understanding Global Slavery: A Reader. London: University of California Press.

 

Bayly, C. and Harper, T. 2004. Forgotten Armies: The Fall of British Asia, 1941-1945. United Kingdom: 

              Penguins Books Ltd.

 

Brooks, R. L. 1999. The Controversy Over Apologies and Reparations for Human Injustice:   When Sorry Isn’t              Enough. New York: University Press.

 

Ember, C. R. and Ember, M. 2003. Encyclopedia of Sex and Gender: Men and Women in the World’s

            Cultures. (Volume 2). New York: Kluwer Academic.

 

K.G.P Tregonning. 1952. “The Elimination Of Slavery In North Borneo”. Journal Of The Malayan

            Branch of The Royal Asiatic Society. 26(1): pp 37-40.

 

Olsen, K. 1994. Chronology of Women’s History. USA: Greenwood Publishing Group, Inc.

 

Roth, H.L. 2012. The Natives of Sarawak and British North Borneo. (Volume II). Netherlands.

 

Stall, J. 1925. Anthropos. Anthropos Insitute.

 

SUMBER DAN BACAAN LANJUT

© 2013 UMS History Programme (HA 24) 

bottom of page