



Dari His story Kepada Her story
Dalam konteks Gender, suatu perkara yang tidak dapat untuk dielakkan adalah sifat berat sebelah terhadap sesuatu gender atau ‘Gender Bias’. Perkara ini berbeza dengan jantina yang mana jantina merupakan aspek khusus yang bersifat objektif sedangkan gender pula melambangkan tingkah laku sesuatu jantina yang telah dipengaruhi oleh keadaan sosial sekeliling. Bagi menjelaskan definisi jantina, Linda L. Lindsey di dalam penulisannya telah menjelaskan bahawa jantina sebagai aspek biologi seseorang individu yang akan membawa kepada perbezaan dan pengkelasan antara lelaki dan wanita yang mana perbezaan ini dikategorikan melalui kandungan kromosom, anatomi tubuh badan, ciri - ciri fizikal, bentuk alat sulit dan peranakan yang dimiliki, kandungan hormon dan karekter psikologi yang dimiliki oleh jantina tersebut. Beliau menyatakan bahawa terdapatnya perbezaan yang amat besar di antara ciri - ciri jantina seseorang individu kerana kekangan - kekangan lahiriah yang tidak dapat dihindarkan seperti faktor biologi secara semula jadi. Secara ringkas, Linda memberikan pendapat jantina adalah suatu yang dikaji di dalam bidang biologi kerana ianya berkaitan tubuh badan dan keadaan dalaman serta luaran hidupan mengikut spesiesnya. ( Lindsey L. L, 1994).
Definisi gender perlu dinilai menerusi konseptual antropologi kerana ia dipengaruhi oleh aspek sosial dalam sesebuah masyarakat dan individu tersebut. Gender didefinisikan oleh Philip E. Devine dan Celia Wolf - Devine sebagai cakupan identiti yang cuba dibentuk oleh keadaan persekitaran, masyarakat dan orang yang lebih berkuasa seperti ibu bapa bagi melahirkan suatu sifat yang dapat dikelaskan terhadap seseorang individu menerusi jantinanya. Hal ini kerana manusia itu mempunyai limitasinya yang tersendiri dan gender seringkali mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat kerana pelbagai isu telah timbul ekoran permasalahan gender sehingga mencetuskan fenomena seperti fenomena Maskulinisme dan Feminisme. ( Devine E. P dan Devine W. C, 2003).
Kajian berkenaan sejarah wanita ini dilakukan atas tujuan untuk mengangkat martabat golongan wanita khususnya di Malaysia menerusi kajian kes di Sabah. Hal ini demikian kerana di Malaysia khususnya belum terdapat pensejarahan berkaitan wanita yang benar – benar setanding seperti di Eropah. Sejarah Wanita perlu diangkat bagi menentang dominasi major golongan lelaki terhadap sejarah. Hal ini turut diutarakan oleh golongan Sejarawan Dunia seperti R.G.Collingwood di dalam penulisannya bertajuk (Abdul Rahman Haji Abdullah,1994). Di dalam penulisan ini, Collingwood menyatakan bahawa sejarah itu perlulah sentiasa diberikan pelbagai nafas baru kerana ianya tidak sekadar suatu penceritaan atau berbentuk naratif. Apabila epistimologi sejarah baru tercipta, maka ianya telah membentuk kepada kepelbagaian bidang ilmu sejarah. Untuk melihat bagaimana sejarah itu terlalu didominasi oleh golongan lelaki, istilah sejarah sendiri di dalam Bahasa Inggeris ialah ‘History’. Istilah ‘His’ itu sudah menunjukkan suatu kata nama yang membawa rujukan kepada seorang lelaki, manakala istilah ‘story’ merupakan suatu yang berbentuk penceritaan sejajar dengan sifat sejarah yang mengutamakan penceritaan seperti dinyatakan oleh E. H. Carr hasil petikan daripada Cambridge Modern History, bahawa sejarah itu sendiri ialah merakamkan dengan cara paling berguna supaya dapat diketahui oleh ramai serta menjadi ilmu pengetahuan yang dapat diwariskan (Abdul Rahman Haji Ismail,1998).
Mengapa Sabah Menjadi Pilihan Kajian Kes?
Sabah menjadi pilihan bagi kajian kes ini kerana sehingga kini kajian – kajian berkaitan ‘Comfort Women’ di Malaysia amat jarang diketengahkan. Malah agak sukar untuk mencari sorotan literatur yang berkaitan melainkan penulisan berbentuk Sastera Sejarah yang bertajuk oleh Swee Lian seorang wanita generasi ketiga komuniti Cina yang dilahirkan di Sabah yang telah diolah oleh Ralph Modder. Perkara ini berbeza dengan situasi di semenanjung Malaysia yang mana adanya kajian – kajian secara tidak langsung berkaitan ‘Cormfort Women’ seperti di negeri Perak dan didokumentasikan menerusi filem – filem genre patriotik seperti Embun arahan Erma Fatima pada tahun 2002 serta Paloh arahan Adman Salleh pada tahun 2003. Meskipun filem – filem ini tidaklah memaparkan kegiatan ‘Cormfort Women’ secara terang – terangan, namun elemen – elemen yang terdapat di dalam filem ini diambil daripada kajian berkaitan pelacuran paksa semasa zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu sebelum tentera Jepun Menakluki Borneo Utara pada tahun 1942.
Kajian ini dilakukan atas keinginan untuk mengungkap semula sejarah keperitan yang pernah dialami oleh wanita-wanita di Borneo Utara semasa penjajahan Jepun di Borneo Utara. Secara umum, manusia akan memberi persepsi yang negatif kepada wanita yang pernah terlibat dalam kegiatan pelacuran dan juga perhambaan secara paksaan. Kealpaan manusia dalam menilai sebab-akibat kepada tindakan tersebut menyebabkan sumbangan golongan ini semasa era penjajahan digelapkan oleh sisi negatif.
Kepentingan Kajian Terhadap Individu Dan Masyarakat
Salah satu elemen yang dapat digunakan bagi mendidik seseorang individu mahupun sesuatu masyarakat adalah dengan memberikan informasi berkaitan sejarah. Menerusi kajian – kajian yang berterusan di dalam sejarah Negara ini, masyarakat akan bertambah celik serta mempunyai kesedaran yang lebih baik daripada sebelum ini. Selain daripada itu juga, kajian ini mempunyai serampang tiga mata di mana fokus utama kajian ini adalah menumpukan di dalam aspek epistimologi Sejarah Wanita. Bagi menghindar daripada sejarah itu menjadi suatu yang bersifat konservertif, maka kajian ini turut ditambah dengan aplikasi teori ringkas feminisme. Tujuan aplikasi teori ini juga adalah bagi melihat bagaimana martabat wanita itu amnya di Malaysia dan Khususnya di Sabah dapat dipertingkatkan. Jika kajian terlalu memberikan tumpuan semata – mata terhadap Sejarah Wanita, maka pengunjung laman sesawang tidak akan dapat melihat kekuatan wanita. Perkara ini dinyatakan demikian kerana Sejarah Wanita itu lebih berfokus kepada penindasan terhadap wanita. Bagi menonjolkan kekuatan laman sesawang ini sekaligus memberikan infomasi tambahan, maka kajian kes terhadap ‘Cormfort Women’ dilakukan. Menerusi kajian kes terhadap ‘Cormfort Women’, barulah pengunjung laman sesawang akan dapat melihat eksploitasi wanita telah berlaku ketika zaman pendudukan Jepun di Sabah pada tahun 1942. Maka, daripada penerangan di atas, individu dan masyarakat akan mengetahui tentang kewujudan peristiwa ‘Cormfort Women’ yang amat jarang disentuh isu ini ketika hari kemerdekaan bagi menjaga sensitiviti masyarakat Malaysia.
Kepentingan Kepada Negara
Secara ringkasnya, meskipun kajian ini bukanlah suatu kajian yang bersifat menyeluruh, namun ianya merupakan suatu usaha awal daripada golongan pelajar untuk lebih memahami perkara berkaitan Sejarah Wanita. Penciptaan laman sesawang ini dari suatu segi akan dapat memberi ruang kepada penyelidik – penyelidik baru lebih mendalami isu yang diutarakan daripada kajian ini. Diharapkan hasil daripada penerbitan laman sesawang ini membuka kepada lebih banyak kajian – kajian berkaitan isu ‘Comfort Women’ di Malaysia dan lebih membuka mata masyarakat untuk memahami isu sejarah.
Setelah merangkumkan aspek kajian Sejarah Wanita, Sejarah Feminisme serta kajian kes terhadap ‘Comfort Women’, pihak pengkaji telah menggunakan pendekatan teori di dalam sejarah sebagai suatu usaha untuk menjadikan sejarah sebagai suatu wadah ilmu yang lebih menarik. Kajian ini juga turut mengaplikasi pernyataan daripada Sigmund Freud iaitu manusia melakukan sesuatu perkara menerusi dua kecenderungan naluri utama iaitu naluri ganas serta naluri seks.

SUMBER DAN BACAAN LANJUT
Abdul Rahman Haji Abdullah. 1994. Pengantar Ilmu Sejarah.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
E. H. Carr.1988. (terj) Abdul Rahman Haji Ismail. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cheryl A. Rickabaugh.1998..United States of America: The Mc Graw - Hill Companies Inc.
Dwayne D. H et. Al. 2006.Gender Issue and Sexuality: Essetial Primary Sources.Fermington Hills: Thomson Gale.


