top of page

Kajian yang dilakukan dalam mencari hal sebenar yang berlaku dalam Sejarah Eksploitasi Wanita di Sabah telah membawa kepada penemuan penyelidikan yang dianggap begitu penting untuk melihat sejauhmanakah perkara ini mendapat tempat dalam ruang masyarakat dan politik. Kajian mengenai Sejarah Eksploitasi Wanita di Sabah telah membawa kepada penemuan tentang situasi perhambaan di Sabah dan perkembangan dalam sejarah ini telah membawa juga kepada penemuan tokoh-tokoh wanita di Sabah. Penemuan ini dianggap sangat penting dalam melihat sejauhmanakah perkara ini mencorak dunia kewanitaan dalam ruang politik dan masyarakat.

 

          Perhambaan wanita di Sabah menyedarkan kita tentang peristiwa-peristiwa yang selama ini tidak ditonjolkan dengan begitu ketara sekali seperti tragedi ‘Mui Tsai’ dan ‘Comfort Woman’. Kisah-kisah ini menemukan satu perkara yang begitu tragis sekali sehinggakan ia tidak mampu diungkapkan dalam kotak pemikiran dan hak asasi manusia. Peristiwa ini telah membawa kepada luka yang dalam kepada bekas-bekas wanita yang pernah menjadi ‘Mui Tsai’ dan ‘Comfort Women’ oleh tentera Jepun di Sabah. Sistem perhambaan yang diamalkan oleh tentera-tentera Jepun ini sememangnya mengambarkan satu keadaan yang begitu sengsara dalam jiwa wanita ketika itu.

 

          Penemuan-penemuan seperti ini cuba merungkai serba sebanyak tentang keadaan wanita yang dijadikan hamba ini daripada pelbagai sudut seperti dari sudut kehormatan, seksualiti, keselesaan, kesengsaraan dan sebagainya. Ternyata keadaan ini hanyalah dianggap sebagai satu cara untuk mempermudahkan tentera-tentera Jepun untuk melampiaskan nafsu dan juga sebagai membangkitkan semangat tentera Jepun di medan perang. Namun begitu, amatlah menyayat hati sekiranya melihat dari sudut kehormatan mangsa ketika itu yang dihina dan diperlakukan dengan seburuk-buruknya oleh tentera-tentera Jepun.

 

           Pengkajian mengenai amalan perhambaan atau eksploitasi wanita ini dilihat menjadi satu perkara yang begitu kompleks ketika kedatangan SBBUB. Walaupun SBBUB dilihat telah berjaya menghapuskan satu bentuk amalan perhambaan, namun pembawaan mereka melalui ‘sistem pemburuhan paksa’ seolah-olah telah membawa satu era perhambaan dan eksploitasi yang baru serta berlainan sudutnya. Sistem ini dilihat sebagai satu bentuk eksploitasi dari sudut ekonomi dan seksualiti atau dengan kata erti lainnya dilihat apabila kaum wanita yang dikerah menjadi buruh paksa itu tidak diberi kadar upah yang setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan oleh mereka. Golongan ini juga dipaksa melakukan kerja-kerja yang berat di dalam estet-estet besar. Namun begitu, apa yang berlaku disebalik tirai perhambaan dan penindasan ini seolah-olah tercalit satu hal yang begitu sadis. Kaum wanita ini telah menjadi mangsa gangguan seksual oleh pegawai-pegawai dalam estet tersebut. Kajian ini mengambarkan bahawa suasana dan keadaan estet yang tidak kondusif itu begitu memaksa para pegawai ini melakukan perbuatan yang terkutuk tersebut. Kehidupan buruh paksa yang daif ini telah dilihat sebagai satu kesempatan oleh para pegawai SBBUB untuk melakukan eksploitasi dan gangguan seksual terhadap mereka.

 

          Tragedi ini telah menyemarakkan kemarahan dan membawa kepada kebangkitan kaum wanita di Sabah selepas era Pembentukan Malaysia 1963. Walau bagaimanapun, luka dan parut yang ditinggalkan oleh tentera-tentera Jepun terhadap mangsa sangat memberi kesan sehingga kini dalam kalangan mangsa yang masih hidup. Pelbagai peristiwa telah diangkat dalam penyelidikan ini dan serba sebanyak mampu memenuhi interprestasi masyarakat terhadap Sejarah Eksploitasi Wanita di Sabah.

© 2013 UMS History Programme (HA 24) 

bottom of page