



Sistem Comfort Women di Sabah
Hubungan seks tidak lagi menjadi nikmat kehidupan sebaliknya telah menjadi sumber keganasan dan satu bentuk penindasan apabila dieksploitasi semasa peperangan. Demikian seperti yang digambarkan oleh Maria Rosa Henson, bekas 'comfort woman' Filipina dalam autobiografinya (Maria Rosa Henson, 1996).
“12 orang tentera merogol saya dalam sesi yang begitu pantas, sebaik sahaja saya diberi rehat selama satu setengah jam. Kemudian diikuti oleh 12 orang tentera lagi. Mereka beratur di luar bilik saya untuk menunggu giliran. Saya mengalami pendarahan yang begitu teruk dan kesakitan yang teramat sehingga tidak mampu lagi untuk berdiri. Pagi keesokannya, saya terlalu lemah untuk bangun, akibatnya saya tidak dapat makan. Saya merasai keperitan yang sungguh, dan kemaluan saya membengkak. Saya menangis dan menangis, memanggil ibu saya. Saya tidak dapat menahan tentera-tentera Jepun ini atau saya akan dibunuh. Jadi, apa lagi yang saya perlu lakukan? Setiap hari, dari jam 2 petang sehingga jam 10 malam, tentera-tentera ini akan berbaris di luar bilik saya dan 6 buah bilik lain untuk menunggu giliran mereka bagi memuaskan nafsu. Saya langsung tidak sempat untuk membersihkan diri setiap kali menyelesaikan satu perhubungan. Di penghujung hari, saya hanya mampu memejamkan mata memikirkan perkara yang indah dan menangis. Kain sarung saya telah menjadi rapuh akibat kerak yang terhasil daripada semen kering para tentera. Saya membersihkan diri saya dengan menggunakan air yang sedikit panas dengan harapan untuk merasai kesucian. Saya tekap kain yang suam pada kemaluan untuk melegakan kesakitan dan bengkak.”
(Antara petikan daripada autobiografi oleh Maria Rosa Henson).
Wanita-wanita yang mejadi tawanan Jepun semasa era Perang Sino-Japanese Kedua (1937-1945) dan era Perang Pasifik (1941-1945) telah dipaksa untuk menjadi hamba seks kepada para tentera Jepun (Keat Gin Ooi, 2004 : 374) . Wanita-wanita yang dipaksa ini digelar sebagai 'comfort woman' atau 'jugun-ianfu'. Wanita-wanita yang telah dipaksa menjadi hamba seks ini bukan sahaja terdiri daripada golongan bawahan malahan turut melibatkan wanita yang berpendidikan tinggi. Kebanyakan penyelidikan yang dilakukan menunjukkan bahawa tawanan yang paling ramai dijadikan hamba seks ini ialah tawanan wanita dari China diikuti Korea, Filipina, Indonesia, Thailand, Burma, New Guinea, Hong Kong, Indochina, dan Malaysia (Kirtsen Orreil : 128-129). Berdasarkan testimoni daripada bekas 'comfort woman' menunjukkan bahawa wanita-wanita yang terpaksa menjadi 'comfort woman' ini sama ada telah dilarikan oleh tentera Jepun semasa pencerobohan ke atas kediaman mereka dilakukan, atau terpengaruh dengan janji untuk mendapat peluang kerja yang lebih baik di kilang-kilang dan restoran semasa era peperangan. Sebaik sahaja 'comfort woman' ini direkrut, mereka akan ditahan di 'comfort station' dan kebebasan mereka dikawal secara langsung. Kajian tentang 'comfort woman' hanya diketengahkan setelah tamatnya Perang Dunia Kedua selama 50 tahun oleh para aktivis barat.
Borneo Utara telah dikuasi oleh tentera Jepun pada tahun 1941. Penguasaan tentera Jepun di Borneo Utara juga menyebabkan Borneo Utara tidak terkecuali daripada menggunakan khidmat 'comfort woman' bagi menaikkan semangat para tentera Jepun. Beberapa kawasan di Borneo Utara yang telah menempatkan 'comfort station' ialah seperti di Papar, Beaufort, dan Jesselton. Antara laporan tentang 'comfort woman' yang pernah dikeluarkan ialah seperti yang dilakukan oleh Dough Davey seorang ahli dalam regimen Australia ke-9 yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal perhubungan awam Borneo Utara pada Ogos 1945. Beliau mendapati bahawa wanita-wanita dari kepulauan Jawa telah dibawa masuk ke Borneo Utara oleh tentera Jepun dan tinggal di berek-berek Jepun yang telah dijadikan sebagai 'comfort station' di Beaufort (dikenali sebagai Weston ketika itu) berdekatan Sungai Padas (Yuri Tanaka, 2013 : 1921). Sebaik sahaja Jepun menyerah kalah, pasukan tentera Jepun telah menempatkan 'comfort woman' ini di sebuah pulau bagi menjalani rawatan dan pemulihan sebelum pemulangan semula mereka ke Indonesia. Namun, ada kalangan mereka yang sangat takut untuk pulang kerana malu dengan pengalaman yang mereka lalui dan membunuh diri. Angkatan tentera Australia yang mendarat di Pulau Timoa juga menemui 46 orang 'comfort woman' dari Jawa yang diarahkan menyamar sebagai pasukan tentera Jepun namun angkatan tentera ini tidak mempunyai minat dan bidang kuasa untuk menyiasat pasukan tentera Jepun yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap pengabaian wanita-wanita tersebut.
Selain itu, dalam buku 'Tears of A Teen-Age Comfort Woman' hasil catatan asal bekas 'omfort woman' yang dilahirkan di Jesselton dikenali sebagai 'Swee Lian' bukan nama sebenar turut mendedahkan penderitaan yang dialami semasa ditawan oleh pihak Jepun dan dijadikan sebagai 'comfort woman' untuk tempoh 10 bulan semasa Perang Dunia kedua (Swee Lian, 2008). Swee Lian berusia 16 tahun semasa dia dipenjara dan dirogol oleh seorang Kempeitai (polis rahsia/ tentera) Jepun. Swee Lian kemudian dihantar ke kem tentera Jepun di Borneo Utara pada tahun 1942 untuk menjadi 'comfort woman' sebagai hukuman kerana tidak memberikan kerjasama kepada tentera Jepun ke atas siasatan terhadap Gerilla Kinabalu yang dianggotai oleh ibu bapa dan buah hatinya. Ibu bapa Swee Lian turut ditangkap oleh Kempetai dan meninggal dunia di dalam penjara akibat penyeksaan yang dilakukan ke atas mereka. Swee Lian kemudian berjaya melarikan diri ke Singapura pada tahun 1943 yang mana dia telah mendapatkan perlindungan di sebuah biara Buddha sehinggalah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. Pada tahun 1948, Swee Lian mengahwini Choon, buah hati semasa zaman remajanya. Mereka kemudian berhijrah ke Australia pada tahun berikutnya dan Choon meninggal dunia pada tahun 1969 dan Swee Lian meninggal dunia pada tahun 1981. Penceritaan dalam buku ini berdasarkan nota tulisan tangan Swee Lian yang diserahkan kepada ahli keluarganya sebelum beliau bersetuju untuk menerbitkan autobiografi ini.
Dalam catatan Swee Lian, didapati bahawa ada banyak kebudayaan para 'comfort woman' ini di 'comfort house' yang jarang didedahkan kepada umum. Antaranya, sebelum seseorang dijadikan sebagai 'comfort woman' secara rasmi, wanita tersebut perlu menjalani pemeriksaan kesihatan. Seorang ketua 'comfort woman' yang berpengalaman diarahkan untuk memeriksa setiap inci badan wanita yang akan menjadi 'comfort woman' tersebut misalnya memastikan bahawa tidak ada kutu pada bahagian peribadi wanita, mencukur bulu-bulu pada badan wanita-wanita ini, memeberi pil pencegah kehamilan, merawat segala bentuk luka pada badan wanita-wanita ini, dimandikan dengan air mandian harum, dan sebagainya. 'Comfort woman' kemudian dipakaikan dengan kimono pendek berwarna biru tanpa sebarang pakaian dalam.
Kemudian, setiap seorang daripada “comfort woman” ini perlu memberi khidmat seks selama 10 minit kepada setiap tentera Jepun yang melanggan, sekiranya tentera Jepun tersebut mahu menggunakan khidmat mereka lebih daripada 10 minit 'comfort woman' perlu menekan butang kecemasan. Kemudian, selepas 10 minit seks, mereka perlu membersihkan bahagian peribadi mereka dengan sejenis cecair yang dinamakan sebagai 'disfectant'. Selepas membersihkan diri untuk 10 minit mereka perlu untuk terus memberikan khidmat seks lagi untuk 10 minit. Secara puratanya, setiap 'comfort woman' akan memberi khidmat seks kepada 8 orang sehingga 10 orang tentera dalam sehari. Setiap 'comfort woman' ini hanya diberi label nombor tanpa nama atau asal-usul mereka direkodkan sebab itu isu ini tidak direkodkan di arkib atau sebagainya.
Buku ini yang ditulis berdasarkan catatan peribadi Swee Lian yang berjaya melepaskan diri selepas 10 bulan menjadi 'comfort woman' yang kemudian diolah semula oleh Ralph Modder turut menceritakan keadaan di dalam 'comfort house' yang mana kondom yang telah digunakan akan dipakai semula. Akan ada satu unit dalam 'comfort house' yang bertanggungjawab untuk melakukan kerja pembersihan kondom. Beberapa tempat terletaknya 'comfort house' di Jesselton ialah seperti di gereja All Saints, Karamunsing yang mana sebuah bilik telah diubahsuai di dalam gereja tersebut sebagai bilik 'comfort' tentera Jepun, bangunan sekolah lama di Jalan Rudge, banglo lama di Jalan Harrington yang menempatkan 'comfort woman' yang paling cantik dan paling muda, dan sekolah St. Francis Convent yang ditukarkan untuk menjadi asrama tentera-tentera Jepun sementara isteri serta anak-anak pegawai British ditahan di sekolah tersebut dan dipaksa menjadi pemuas nafsu para tentera Jepun.
Swee Lian turut mendedahkan beberapa penyeksaan yang dilakukan oleh tentera Jepun ke atas 'comfort woman' misalnya tentera jepun kadang-kadang melakukan tabiat seks melampau misalnya menggigit puting payu dara 'comfort woman'. Beberapa hukuman dikenakan ke atas 'comfort woman' sekiranya cuba melarikan diri. Antaranya :
1. Dibogelkan dan diikat pada tiang di tempat yang terbuka.
2. Dipukul dengan menggunakan rotan di seluruh badan.
3. Dibiarkan tanpa makanan dan air untuk 36 jam.
4. Diberi layanan buruk selepas hukuman tersebut misalnya membersihkan tandas,
mengelap lantai, dan sebagainya.
Isu 'comfort woman' ini banyak diketengahkan oleh tentera Berikat Barat dan kerajaan Korea hanya selepas 50 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua bagi membela nasib bekas “comfort woman” di Korea namun bagaimana dengan nasib 'comfort woman' di Borneo Utara dan negara-negara lain? Pada tahun 1948, 13 orang tentera Jepun telah dihukum oleh Makhamah Batavia akibat memaksa 35 orang wanita Belanda untuk menjadi 'comfort woman' di Indonesia. Pada masa yang sama, wanita tempatan Indonesia yang telah dirogol dan dijadikan sebagai 'comfort woman' tidak dibela dan diabaikan. Laporan mahupun aduan untuk mengetengahkan isu ini tidak pernah dilakukan dan tidak pernah dibawa makhamah jenayah peperangan di Tokyo atau dikenali sebagai Tribunal Ketenteraan Antarabangsa Timur Jauh (1946-1948) semasa era peperangan (T&S Issue 41, 2000). Pada tahun 1994, kerajaan Jepun telah menubuhkan Tabung Wanita Asia (Asian Women's Fund, AWF) untuk menyediakan pampasan kepada bekas-bekas 'comfort woman' di Korea Selatan, Filipina, Taiwan, Belanda, dan Indonesia.
SUMBER DAN BACAAN LANJUT
Web
Deborah L. Madsen.2007. Nora Okja Keller’s Comfort Women and the Ethics of Literary Trauma.
Concentric:Literary and Cultural Studies. 33 (2)
Iris Chang. 1997. The Rape of Nanking: The Forgotten Holocaust of World War II, New York: Basic
Books.
James Ladino. 2009. Ianfu: No Comfort Yet For Korean Comfort Women and The Impact of House
Resolution 121, Cadozo Journal of Law and Gender, 15 (333)
Henson, M. R. 1996. Maria Rosa Henson : Comfort Woman, Slave of Destiny. Manila :
Philippine Center for Investigative Journalism.
Keat Gin Ooi. 2004. Southeast Asia : A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor,
Volume 1. California : ABC-CLIO Inc.
Orreil, K. Who are Ianfu (comfort Women), New Voices, 2.
Swee Lian. 2008. Tears of A Teen-age Comfort Woman. Singapore : Horizon Books Publisher.
Yuri Tanaka. 2013. Japan’s Comfort Woman. London : Routledge Publisher.
Pengenalan Sistem Comfort Women
Sistem Comfort Women merupakan satu sistem perhambaan seks yang telah dijalankan oleh tentera Jepun semasa akhir Perang Dunia Kedua. Ketika itu, tentera Jepun telah memusnahkan atau menyembunyikan pelbagai dokumen tentang sistem Comfort Women. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa dokumen penting yang masih terselamat, sepertimana yang telah ditemui pada tahun 1992 oleh Profesor Yoshiaki Yoshimi, seorang pengarang buku bertajuk Comfort Women.
Faktor-faktor Pembentukan Sistem Comfort Women
Pembentukan sistem Comfort Women oleh kerajaan Jepun dicetuskan oleh beberapa faktor. Antara faktor tersebut adalah dorongan daripada kerajaan Jepun sendiri ketika zaman pemerintahan Maharaja Hirohito bagi meningkatkan semangat para tentera Jepun untuk meneruskan perjuangan demi negara mereka.
Malah, sistem ini juga turut terbentuk berikutan tercetusnya peristiwa Rape of Nanking. Menurut Iris Chang, ketika peristiwa Rape of Nanking dianggarkan seramai 20 000 hingga 80 000 wanita Cina termasuk golongan ibu mengandung, anak-anak gadis, dan wanita warga emas telah dirogol dan dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun. Rentetan daripada peristiwa tersebut, kerajaan Jepun telah mendapat kritikan hebat secara terbuka daripada masyarakat dunia. Demikian itu, kerajaan Jepun memberi alasan bahawa peristiwa Rape of Nanking tersebut berlaku akibat kondisi fizikal tentera serta kekecewaan seksual kerana keperluan seksual mereka tidak dipenuhi. Justeru, sistem Comfort Women telah ditubuhkan bagi tujuan memberikan khidmat seks kepada para tentera agar mereka dapat memuaskan keinginan seksual mereka dengan cara yang sistematik dan diselia secara langsung dengan mengambil comfort women sebagai jalan penyelesaian terhadap keganasan yang tercetus akibat peristiwa Rape of Nanking.
Ternyata berikutan peristiwa Rape of Nanking pada tahun 1937 beberapa pegawai tinggi tentera Jepun menyarankan agar kerajaan Jepun membuka comfort station. Demikian itu, sistem Comfort Women telah ditubuhkan bagi memenuhi gesaan daripada pihak tentera agar keperluan seksual mereka dapat dipenuhi. Comfort Station telah dibina sebagai sebahagian daripada Government Regulated Prostituition System di Jepun dan Negara-negara jajahan. Malah, terdapat pelbagai kaedah yang telah digunakan dalam merekrut dan mengurus pekerja dalam pentadbiran comfort station.
Peristiwa Rape of Nanking dan sistem seksual yang tidak sistematik telah menyebabkan prestasi tentera Jepun agak menurun lantaran jangkitan penyakit kelamin. Malah, pelacur-pelacur yang dibawa bersama dengan mereka dari Jepun juga kebanyakannya menghidap penyakit kelamin. Kebimbangan dalam kalangan pegawai tinggi tentera mulai membuak apabila kekuatan tentera Jepun mulai lemah kerana penyebaran penyakit kelamin. Maka, situasi ini memaksa tentera-tentera Jepun bertindak untuk mendesak pihak kerajaan agar menyediakan satu sistem khidmat sosial yang diselia secara terancang dan sistematik agar para tentera bebas daripada kemungkinan akan dijangkiti penyakit tersebut.
Kesan-kesan sistem Comfort Women
Pengenalan sistem Comfort Women ternyata telah memberikan kesan terhadap individu yang dijadikan comfort women, kewujudan tuntutan-tuntutan bekas comfort women, kesannya terhadap martabat Jepun dan hubungan antarabangsa Jepun. Sistem Comfort Women telah menyebabkan beberapa Comfort Women yang berada di Comfort Station terkorban dan yang lain-lain pula berjaya melarikan diri dan kemudiannya meminta perlindungan daripada tentera Amerika. Comfort Women yang terselamat tidak dapat kembali ke kampung halaman mereka dengan mudah, kerana perjalanan untuk pulang tidak disediakan malahan mereka telah dihantar ke kawasan yang jauh daripada kawasan asal mereka. Kesan psikologi terhadap mereka yang bergelar comfort women terpamer apabila ramai di antara mereka ini telah berputus asa untuk kembali ke rumah keluarga masing-masing kerana berasa malu dengan diri mereka. Demikian itu, mereka memilh alternatif lain dengan menetap di negeri asing di mana mereka telah di bawa oleh tentera Jepun yang mana tidak ada sesiapa yang mengenali identiti diri mereka dan kemudiannya menghabiskan sepanjang hayat mereka di sana.
Berikutan penindasan terhadap wanita yang berlaku dalam sistem Comfort Women, wujud beberapa tuntutan daripada mantan Comfort Women sama ada semasa berada di comfort station ataupun selepas terselamat daripada perhambaan seksual. Antara tuntutan yang mereka ketengahkan adalah permohonan maaf secara rasmi daripada kerajaan Jepun, pembetulan kedudukan comfort women dalam buku teks sejarah di Jepun dan bayaran pampasan sebagai ganti rugi terhadap penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mereka sebagai comfort women.Sistem Comfort Women ini juga turut memberi kesan terhadap martabat Jepun. Isu comfort women ini ternyata memalukan bukan sahaja terhadap kerajaan Jepun, malah turut dirasai oleh golongan rakyat Jepun. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Jepun bagi tujuan pemulihan semasa menghadapi keriuhan protes hak asasi manusia pada tahun 1990-an, seperti pemotongan fakta sejarah yang terpilih di dalam buku teks sekolah mengenai Perang Dunia Kedua dan penyembahan berterusan kepada roh penjenayah Perang Kelas A di Yasukuni Shrine, Tokyo.
Semenjak awal 1990-an, isu comfort women telah menjadi satu isu penting terhadap hubungan antarabangsa Jepun dalam aspek politik seksual global .Contohnya, pada tahun 1992, comfort women dari Korea mula bangkit melalui Jungun Ianfu Advocacy Network untuk menuntut pengakuan rasmi dari pemerintah Jepun tentang jenayah seksual pada masa perang. Tujuan utama mereka adalah untuk menuntut kerugian moral dan juga fizikal yang sekian lama ditanggung mereka. Mulanya kerajaan Jepun menafikan penglibatannya dan menolak tuntutan mantan comfort women iaitu permohonan maaf secara rasmi daripada kerajaan Jepun dan bayaran pampasan. Jepun telah membangkitkan kemarahan dalam kalangan mangsa perhambaan seksual dan mendorong mereka untuk mendedahkan masa lalu mereka serta membuat rayuan di mahkamah.


