



Ruth Marcus @ Priscilla
NAMA PENUH : Ruth Marcus @ Priscilla.
NAMA YANG DIKENALI : Ruth.
ALAMAT ASAL : Menumbok, Sabah.
UMUR : 57 Tahun.
BIDANG KEPAKARAN : Undang-undang berkaitan peribumi Sabah dan wanita.
TEMPOH BERKECIMPUNG : Sejak 1974 (38 tahun).
DALAM BIDANG KEPAKARAN
PENGIKTIRAFAN : i. Wakil Partners Of Community Organisations (PACOS) ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva untuk mengetengahkan isu hak asasi manusia bagi populasi masyarakat asli, 2001.
ii. Menjadi wakil delegasi Malaysia ke PBB untuk Persidangan Wanita di Huairon, China, 1995.
LEGASI : -
SUMBANGAN : i. Setiausaha Persatuan Orang-orang Buta Sabah.
ii. Pengerusi Pertubuhan Undang-undang Masyarakat Asli dan Adat Peribumi Sabah.
iii. Penasihat Seri Murni, Sabah.
TARIKH TEMU BUAL : 9 April 2012 (Isnin), 10.00 Pagi.
Penerangan Ringkas :
Puan Ruth Priscilla merupakan seorang wanita yang cukup gigih memperjuangkan hak kaum peribumi Sabah. Beliau bukan sahaja berpandangan jauh malahan turut mempunyai pendirian yang tegas dalam melaksanakan tugas. Puan Ruth berketurunan Kadazan Dusun. Beliau merupakan graduan jurusan Undang-undang dari Barrister, London. Sepanjang pertemuan saya bersama beliau, saya mendapati beliau seorang yang banyak memberikan inspirsai dan motivasi. Beliau bercerita tentang zaman kanak-kanaknya yang ketika itu Sabah masih lagi mundur dan melihat keadaan Sabah ketika itu menyebabkan beliau bercita-cita untuk membantu masyarakat asli Sabah sejak kecil lagi supaya lebih maju dan beliau yakin bahawa pendidikan merupakan pintu kepada segala peluang di dunia. Cita-cita beliau untuk membantu masyarakat peribumi Sabah tercapai melalui bidang yang beliau ambil ketika berada di universiti.
Datuk Jamilah Sulaiman
NAMA PENUH : Jamilah @ Halimah binti Sulaiman.
NAMA YANG DIKENALI : Datuk Jamilah Sulaiman.
ALAMAT ASAL : Seria, Brunei.
UMUR : 56 Tahun.
BIDANG KEPAKARAN : Ahli Politik sepenuh masa (khususnya USNO dan Parti Bersatu Sabah, PBS).
TEMPOH BERKECIMPUNG : Sejak 1986 (26 tahun).
DALAM BIDANG KEPAKARAN
PENGIKTIRAFAN : i. Satu-satunya wanita yang diberi tanggungjawab sebagai Ketua Bahagian atau memegang sesebuahkawasan (N.38).
ii. Anugerah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) 2008.
iii. Anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) 2009.
LEGASI : Ahli-ahli Parti Bersatu Sabah (PBS).
SUMBANGAN : i. Ketua Wanita PBS sejak tahun 2000.
ii. Ketua Bahagian Sipitang.
iii. Yang Dipertua Anggerik.
iv. Setiausaha Negeri Majlis Bekas Wakil Rakyat.
TARIKH TEMU BUAL : 13 April 2012 (Jumaat), 10.00 Pagi.
Penerangan Ringkas :
Datuk Jamilah Sulaiman lahir di Seria, Brunei iaitu sebuah Bandar pengeluar minyak. Bapanya berasal dari Labuan manakala ibunya berasal dari Miri. Beliau menetap di Brunei sehingga usia enam tahun sebelum berpindah ke Labuan. Semasa sese pertemuan saya dengan Datuk Jamilah, saya mendapati beliau seorang yang merendah diri dan mempunyai semangat yang kental. Beliau menceritakan kepada saya tentang ibunya yang juga merupakan sumber inspirasi beliau sehingga menyebabkan belia berkecimpung dalam bidang politik. Menurut Datuk Jamilah Sulaiman, ibunya merupakan Ketua Wanita USNO suatu ketika dahulu. Ibu Datuk Jamilah Sulaiman juga seorang pengikut fanatic Tun Mustapha. Datuk Jamilah Sulaiman sangat menghargai perpaduan kaum yang dikecapi sekarang dan tanggugjawab beliau ialah untuk memastikan perpaduan kaum ini terus kekal melalui Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dianggotai Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam, dan orang-orang Cina. Beliau dikurniakan dua orang cahaya mata.






Datuk Amisah Yassin
NAMA PENUH : Amisah Binti Yassin.
NAMA YANG DIKENALI : Datuk Amisah Yassin/ Bonong/ Onong.
ALAMAT ASAL : Beluran, Sabah.
UMUR : 65 Tahun.
BIDANG KEPAKARAN : Politik (khususnya UMNO).
TEMPOH BERKECIMPUNG : Sejak 1967 (45 tahun).
DALAM BIDANG KEPAKARAN
PENGIKTIRAFAN : i. Tokoh Wanita Peringkat Negeri Sabah 2009.
ii. Wanita Cemerlang Peringkat Negeri Sabah 2006.
iii. Darjah Kebesaran Persekutuan Ahli Mangku Negara 2006.
iv. Anugerah Saidatina Khadijah Maal Hijrah 2005.
v. Darjah Kebesaran Persekutuan Pingat Pengakuan Negara 2000.
vi. Darjat Kebesaran Negeri Panglima Gemilang Darjat Kinabalu 1999.
LEGASI : Belia dalam Badan Belia Antarabangsa Sabah.
SUMBANGAN : i. Pengasas Badan Belia Antarabangsa Sabah.
ii. Pengasas Pertubuhan Wanita Sabah (PEWASA).
iii. EXCO Pergerakan Wanita UMNO Negeri Sabah.
iv. EXCO Wanita Barisan Nasional Negeri Sabah.
v. Pengerusi Rakan Pengguna Negeri Sabah.
vi. Penaung Persatuan Wanita HAKKA Daerah Ranau.
vii. Ahli Sabah Women Entrepreneurs & Professionals Association (SWEPA).
viii. Timbalan Pengerusi Badan Dakwah Daerah Ranau.
TARIKH TEMU BUAL : 11 April 2012 (Rabu), 2.00 Petang.
Penerangan Ringkas :
Datuk Amisah Yassin merupakan seorang wanita yang cekal dan sangat meminati bidang politik. Beliau berketurunan peranakan Cina, Hokkien. Beliau seorang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Sains Politik dari Warwick University of England. Beliau menjawat jawatan sebagai setiausaha politik kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah. Beliau mempunyai tiga orang cahaya mata. Meskipun beliau seorang yang sangat sibuk dan jarang-jarang berada di Kota Kinabalu, sebaik sahaja balik dari Ranau beliau terus menghubungi saya untuk ditemu bual. Saya berasa sungguh bertuah dapat bertemu beliau dan berasa kagum apabila beliau banyak memberikan kata-kata motivasi kepada saya untuk menjadi seorang yang berjaya.



Datuk Hajah Dayang Mahani Tun Pengiran Haji Ahmad Raffae
NAMA PENUH : Dayang Mahani binti Haji Ahmad Raffae.
NAMA YANG DIKENALI : Datuk Hajah Dayang Mahani Tun Pengiran Haji Ahmad Raffae.
ALAMAT ASAL : Lumadan Estate, Beaufort, Sabah.
UMUR : 61 Tahun.
BIDANG KEPAKARAN : Politik (khususnya UMNO, 1991 hingga sekarang dan USNO, 1985-1990)
TEMPOH BERKECIMPUNG : Sejak 1985 (27 tahun).
DALAM BIDANG KEPAKARAN
PENGIKTIRAFAN : i. Penerima pertama Tokoh Wanita Sabah 1999.
ii. Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) 1994.
iii. Kesatria Mangku Negara (KMN) 1993.
iv. Anugerah 10 Belia Malaysia Cemerlang 1985.
v. Bintang Setia Kinabalu 1981.
vi. Anugerah Antarabangsa di Miyazaki, Jepun kerana berjaya menganjurkan pameran hasil-hasil perdagangan dan perkhidmatan negeri Sabah.
LEGASI : Ahli-ahli yang bernaung di bawah persatuan pimpinan beliau.
SUMBANGAN : i. Membuat kutipan berjumlah RM1.2 juta untuk mendirikan 5 buah bangunan di tapak baru untuk Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John Ambulan, Pandu Puteri, Pengakap, dan PAYS Ambulan.
ii. Mewujudkan “SOS Fund” bagi kes orang Sabah benar-benar memerlukan bantuan kesihatan dan berjaya mendapat dana sebanyak RM2 juta untuk tujuan itu.
iii. Bersama menggubal undang-undang melibatkan hak anak-anak mendapat pendidikan, hak wanita untuk mendapat harta sepencarian selepas perceraian, dan hak wanita sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap anak selepas bapa.
iv. Ketua Cawangan UMNO Kampung Lumadan, Sipitang.
v. Ketua Cawangan Wanita Kampung Lumadan,Sipitang.
TARIKH TEMU BUAL : 20 April 2012 (Jumaat), 9.00 Pagi.
Penerangan Ringkas :
Datuk Dayang Mahani merupakan seorang tokoh politik yang amat saya kagumi. Beliau telah menceritakan banyak kisah hidupnya semasa sesi pertemuan kami. Antaranya kehidupan kolej beliau semasa zaman muda tidak direstui bapanya yang merupakan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah pada ketika itu kerana konflik yang dicetuskan oleh kakaknya. Pada suatu ketika dahulu, beliau merupakan seorang pelajar perubatan di Harvegal College Toronto, Kanada namun demikian semasa beliau berada di tahun akhir beliau telah dipaksa untuk kembali ke Sabah oleh bapanya. Perkara ini berlaku kerana pada masa itu kakak Datuk Dayang Mahani telah berkahwin dengan seorang lelaki berbangsa Jerman dan hubungan mereka tidak direstui menyebabkan kakak beliau meninggalkan keluarga. Peristiwa ini menimbulkan kebimbangan di pihak bapa Datuk Dayang Mahani dan menyebabkan beliau terpaksa mengarahkan Datuk Dayang Mahani pulang ke Sabah dengan mengatakan bahawa ibu Datuk Dayang Mahani ketika itu sedang sakit tenat sedanglan sebenarnya beliau tidak mahu kehilangan seorang anak kesayangan lagi. Akhirnya, Datuk Dayang Mahani pulang ke Sabah dan tidak dibenarkan untuk kembali ke Kanada. Peristiwa ini menjadi tolak kepada Datuk Dayang Mahani untuk menceburkan diri dalam bidang politik. Sebaik sahaja pulang ke Sabah, Datuk Dayang Mahani tidak mempunyai pekerjaan tetap dan selepas bapa beliau diyakinkan oleh Allahyarham Tun Mustapha, akhirnya Datuk Dayang Mahani mula melibatkan diri dalam politik.
Ada banyak lagi kisah hidup beliau yang saya sempat rakam semasa pertemuan kami di kediaman rasminya, namun untuk diterjemahkan dalam bentuk penulisan mungkin akan memakan berpuluh muka surat. Satu perkara yang membuatkan saya begitu menyanjungi beliau ialah apabila beliau berbahas dan berpidato di depan saya. Lagaknya selaku wakil rakyat cukup meyakinkan saya untuk menerima usul cadangan beliau sekiranya saya turut serta bersidang dalam dewan parlimen. Saya cukup terpegun dengan lontaran dan ketegasan suara beliau dalam menyampaikan bahas.
Semangat patriotik dalam diri saya semakin kukuh apabila beliau berpidato “ Cuba kamu lihat Malaysia sekarang, adakah bertambah buruk atau semakin pesat pembangunannya? Kamu tahu kamu semua sekarang cukup bertuah menikmati pendidikan rendah secara percuma, mempunyai peluang yang luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, mempunyai banyak kemudahan seperti internet dan sebagainya tidak seperti kami pada masa dahulu serba serbi kekurangan walaupun saya anak Tuan Yang Terutama. Adakah tindakan kerajaan mahu menyusahkan rakyat? Apa yang kamu semua nikmati sekarang ini adalah hasil usaha orang-orang seperti kami yang memperjuangkan hak kamu semua sebagai individu dan menggubal undang-undang agar kamu dapat apa yang orang di Negara maju lain dapat. Saya sedih melihat anak-anak muda zaman sekarang ini semakin melupakan jasa kerajaan sehinggakan ada yang memburukkan negara sendiri. Jangan kita lupa akar umbi kenikmatan yang kita ada sekarang. Manusia mudah mengingati satu perkara yang jahat tetapi cukup sukar mengingati seribu kebaikan. Jangan hanya kerana kamu berprasangka dengan seorang pemimpin, seluruh parti kamu belakangi.” Sebaik sahaja beliau menghabiskan pidato beliau, tanpa disedari saya memberikan tepukan yang cukup gemuruh dan semakin berisnpirasi untuk menjadi seseorang yang dapat memartabatkan negara dan bangsa suatu hari kelak.





